Keunikan Atharva Veda Atharva_Veda

Atharva Veda mempunyai beberapa keunikan yang membezakannya dengan Veda-Veda lain, terutamanya Rig Veda.[3]

Veda ini lebih menumpukan kepada kehidupan di sini dan sekarang, berbanding kehidupan akan datang atau selepas kematian. Oleh itu, upacara ritual dalam Veda ini kebanyakannya adalah untuk mencapai hasrat kehidupan duniawi. Sebahagian besar Veda ini menyentuh tentang penyakit dan penawarnya, ritual untuk memanjangkan usia, ritual untuk memenuhi sesuatu hasrat atau keinginan, seni pembinaan, perdagangan, perniagaan, pentadbiran negara, ritual-ritual untuk menebus dosa, ilmu sihir, dan sebagainya.

Gaya sasteranya juga agak canggih berbanding tiga Veda yang lain. Maka, beberapa orang sarjana berpendapat bahawa Veda ini tidak diterima dalam kelompok Veda kerana menganggapnya sebagai sesuatu untuk 'orang ramai'. Namun, kepopularan Veda ini akhirnya telah memaksa pemimpin-pemimpin masyarakat untuk menerimanya sebagai Veda keempat dan memberikan sami-saminya kedudukan tinggi dalam upacara korban.

Atas alasan yang sama, Veda ini juga dianggap sebagai lebih muda berbanding Veda-Veda lain. Misalnya, C.V.Vaidya[4], seorang cendikiawan moden memberikannya tarikh antara 3000 hingga 2500 S.M. Namun, kronologi Veda adalah bidang yang amat sukar dan tidak mudah untuk menetapkan sesuatu tarikh yang tepat.